Sunday, August 31, 2008

FOUZIAH GHOUS - Harga Yang Perlu Dibayar

Harga yang perlu dibayar

FOUZIAH GHOUS bukanlah satu jenama produk tetapi dengan menggunakan nama komersial itu, dia gagah dan yakin dengan apa yang ingin dicapai dalam dunia seni.

Justeru itu, jangan diperlekeh usaha dan bakat yang ada dalam diri si manis berusia 25 tahun pemilik nama penuh Nor Fauziah Mohd Ghous.

Fouziah Ghous

Biarpun kehadirannya disambut dengan gosip yang kurang enak, kononnya bercinta dengan si anu dan si anu, namun sebagai penyambung riwayat anak seni, Fouziah sanggup merentasi apa jua ujian yang hadir kepadanya.

Berkat kesabaran yang tinggi, kini nama Fouziah semakin disenangi. Tawaran lakonan yang datang juga mencurah-curah sehingga kadang-kala terpaksa ditolak. Barangkali tak terlayan dek kekuatan yang empunya badan.

"Sekarang ini saya memang sibuk. Siang malam kerja sahaja, pada saya usia muda ini harus digunakan sebaik mungkin untuk kesenangan masa hadapan.

"Penat memang penat, tetapi saya terpaksa demi minat dan rezeki. Inilah harga yang perlu saya bayar. Kalau tidak saya juga yang susah bila tiba hujung bulan," terangnya sambil ketawa manja.

Ramai yang melihat lonjakan namanya meningkat terlalu cepat dan mudah. Lihat saja drama yang menggunakan khidmatnya, tidak terhitung dengan jari.

Malah, dia juga sering digandingkan dengan nama-nama besar, baik dalam filem ataupun drama. Semua ini dilihat sebagai tuah buat gadis berkulit hitam manis ini. Dan pastinya tidak semua orang sebertuah si gadis hitam manis ini.

Antara drama lakonannya ialah Enigma, Cinta Medik, Impak Maksima, dan terbaru Sutera Maya yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Selain itu, wajahnya turut diberi kepercayaan untuk memeran watak utama dalam filem Malaikat Maut, Skrip 7707, Rasukan Ablaska dan juga Sifu dan Tonggak.

Melihat banyak tawaran yang datang tidak pernah diabaikan, tentu akan ada beranggapan si manis ini sedikit haloba dan soal itu juga dikongsikan bersama.

Dengan nada suara yang lembut, Fouziah tegas mengatakan dia bukan seorang yang tamak tetapi seorang yang bijak dalam menyusun jadual kerja.

"Kalau saya tamak, saya sapu saja semua tawaran yang datang, tetapi saya bukan orang yang terlari-lari ke sana-sini dalam satu hari.

"Sebelum ambil sesuatu tawaran saya akan lihat dulu jadual, jika ada waktu terluang dan tidak bertembung baru saya ambil. Saya tidak berani ambil kerja yang akan bertembung dalam satu masa. Saya takut menyusahkan pihak lain

"Saya rasa tidak salah kalau mahu ambil beberapa tawaran sekali gus, asalkan tidak menyusahkan pihak produksi. Jadual kerja kena diurus dengan baik, kalau tidak ia hanya akan merosakkan nama saya saja. Sebab itu saya amat berhati-hati menyusun atur segala kerja yang diambil," tuturnya jujur.

Sudah berubah?Walaupun dirinya semakin popular, gadis yang petah berbicara ini mengatakan dirinya tidak pernah berubah. Sebaliknya biar setinggi mana sekalipun impian bakal tercapai dia masih Fouziah yang sama seperti awal bertatih dalam dunia seni.

"Saya fikir ringkas saja. Jadi diri sendiri walau di mana pun berada. Kalau ada orang tanggapan buruk tentang saya, pada saya itu semua hal yang tidak harus difikirkan.

"Saya juga tidak mahu salahkan orang yang bertanggapan buruk tentang saya. Sebolehnya saya mahu cuba elakkan perkara buruk dan berubah ke jalan yang lebih baik dari semasa ke semasa dan tidak mahu memikirkan hal negatif," tegas anak bongsu daripada lima beradik ini.

Bukan itu saja, Fouziah juga kini lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya termasuk caranya berpakaian. Sedar banyak mata yang bakal memandang, dia tidak mahu tersilap mengatur langkah supaya nama baik sendiri dan pastinya maruah keluarga tersasar dipandangan masyarakat.

"Terus terang, dulu pakai apa pun orang tidak akan kisah, tetapi sekarang saya kena jaga. Kalau boleh elakkan pakaian yang seksi melampau dan boleh menimbulkan tanggapan kurang manis.

"Kalau saya buat juga dan pakai sesuka hati di depan orang ramai, bila orang mengutuk dan mengata kita tak boleh salahkan masyarakat. Kita sendiri yang cari pasal, tak boleh salahkan orang lain,"balasnya.

Pertama kali berlakon drama rayaKata Fouziah lagi, tahun ini merupakan tahun pertama dia terlibat dalam pembikinan drama untuk hari lebaran. Malahan, dia juga berasa seronok kerana dapat meninjau suasana kampung yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

"Saya daripada kecil sampai besar tinggal di Kuala Lumpur. Hari raya saya hanya di sini, apabila dapat peluang berlakon di kampung dan di sawah padi, saya rasa terlalu seronok.

"Kalau saya tengok pemandangan kampung, penat itu hilang tiba-tiba. Sebab itu saya tidak ralat kalau nak berulang alik antara mana-mana lokasi luar bandar dan Kuala Lumpur," jelasnya.

Menurutnya lagi, setakat ini sudah ada empat drama lakonannya yang akan ditayangkan sempena hari lebaran nanti.

"Saya pun mahu juga berlakon drama raya, sebab seronok. Lagipun, ini pertama kali saya berlakon drama raya, jadi saya terlebih seronok pula (ketawa).

"Kiranya dalam drama raya, saya jadi ala-ala orang kampung dan pakai tudung, memang lain," luahnya lagi.

Sibuk sepanjang puasaRasanya terlalu pantas masa berlalu, beberapa hari saja lagi, seluruh umat Islam akan menjalani ibadah puasa. Fouziah juga tidak terkecuali menanti kehadiran bulan mulia dengan penuh azam dan semangat.

Sepanjang bulan puasa, jadualnya semakin padat. Tidak menyalahkan percaturan hidup, dia sebaliknya menganggap segalanya kerana rezeki.Walaupun penat berpuasa, kerja harus dilakukan juga.

"Dekat raya, kenalah cari duit lebih sikit. Lagipun saya anggap ini satu perkara yang biasa. Rasanya lagi seronok kalau bekerja sambil berpuasa tidak terasa penat sebab sibuk," katanya yang tidak mengehadkan aktiviti penggambaran dibulan mulia ini.

Bagi Fouziah walaupun sibuk, pada bulan puasa nanti, dia tetap akan meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama keluarga terutamanya pada hari pertama.

"Itu sudah jadi kebiasaan, sejak saya kerja sebagai pramugari pun saya sudah praktik begitu. Kalau ada shooting, saya akan bergegas pulang.

"Lebih afdal berkumpul dengan keluarga, kerja tetap jalan tetapi keluarga jangan dilupa. Lagipun saya masih lagi tinggal dengan keluarga dan terlalu rapat dengan ibu, mana boleh tidak makan masakan ibu pada puasa pertama," luahnya yang sempat melayangkan ucapan selamat menyambut kehadiran Ramadan kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia.

Kredit : Dipetik dari Kosmo!, 29 Ogos 2008

No comments: