Sunday, April 6, 2008

Fouziah Gous: Tolak kontroversi

Oleh FIRDAUS SAHAT

Tidak pernah terlintas untuknya membina nama atas lingkaran api kontroversi. Namun, hakikatnya itulah bayaran yang harus diharungi menjadi artis.

Sebut saja Fouziah Gous, ramai beranggapan pelakon ini membina nama dengan cerita panas dan bukan bakat yang menjadi perantara.

Namun ramai tidak tahu, kejayaan dibina gadis ini dek kerana usahanya yang tidak pernah surut, ditambah pula dia memiliki bakat dan minat mendalam dalam bidang lakonan.

Jelas Fouziah, mengejar nama menerusi kontroversi adalah satu perkara yang tidak pernah difikirkannya.

Bagi gadis ini, dia lebih gemar dinilai melalui bakatnya dan bukan gosip yang diada-adakan sesetengah pihak.

“Saya bekerja dengan ikhlas untuk mencari rezeki. Selama ini, saya bekerja keras supaya peluang terbuka luas buat saya, namun jika mahu mengatakan saya mencipta kontroversi untuk dikenali, ia tidak benar.

“Setiap hari saya merancang perjalanan kerjaya saya yang baru saja bermula. Apa yang saya miliki kini adalah hasil titik peluh sendiri dan bukan disebabkan gosip liar yang disebarkan.

“Walaupun pada mulanya saya kecewa dengan apa yang diperkatakan, namun saya sedar ia sekadar mainan dalam dunia glamor.

“Sedikit sebanyak, ia mematangkan saya dalam menempuh kehidupan akan datang,” katanya yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang berpengaruh di sebuah stesen penyiaran.

Begitu juga dengan VIP yang dikaitkan, Ketua Eksekutif Primedia Inc dan Media Prima International, Datuk Seri Farid Ridzuan yang menafikan beliau menjalin hubungan intim dengan pelakon remaja berkenaan.

Dalam pertemuan di majlis ramah mesra bersama media di Sri Pentas, Rabu lalu, Farid mengakui mengenali Fouziah sejak lima tahun lalu ketika gadis itu masih bertugas sebagai pramugari Penerbangan Malaysia.

“Kebetulan, Fouziah kini menjadi artis dan saya di dalam bidang penyiaran, kami menjadi mangsa gosip.

“Walhal saya baik dengan semua orang, bukan dengan kaum Hawa saja, malah kaum Adam juga,” kata Farid yang terbuka dengan pertanyaan media.

Keterbukaan Farid diharap dapat memberi jawapan lega kepada pemerhati industri yang sering melihat kepada elemen gosip hiburan.

Berbalik kepada cerita Fouziah, gadis berusia 26 tahun ini kini sibuk menjayakan drama 25 episod berjudul Enigma.

“Dalam Enigma, saya memegang dua watak berbeza, iaitu gadis belasan tahun dan juga wanita korporat.

“Pendek kata, drama ini menceritakan perjalanan gadis bernama Mira bermula dari bangku sekolah sehingga menjadi insan berjaya.

“Sebenarnya, susah memegang dua watak ini. Walaupun pada hakikatnya mudah membawa watak remaja, sedikit sebanyak saya terbawa-bawa watak itu sewaktu membawa watak wanita berkerjaya.

“Itu antara cabaran yang perlu saya harungi dalam drama ini.

“Pun begitu, ia bukan pematah semangat untuk saya buat yang terbaik. Semakin banyak pengalaman dikutip, semakin matang perjalanan kerjaya seni saya.

“Tambah menarik, drama ini menyajikan sinematografi menarik. Pada saya, ia karya terbaik pernah dihasilkan Prof Madya A Razak Mohaideen selaku pengarah,” katanya.

Selain itu, Fouziah membintangi Impak Maksima The Series dan Pencak Akhir, sebuah drama bercorak seni mempertahankan diri.

“Dalam drama Impak Maksima The Series, saya diberi watak Hanim iaitu gadis kampung. Jika mahu diikutkan, ini antara watak yang belum pernah saya bawa.

“Sedikit sebanyak, ia turut memberi pengalaman baru buat saya yang masih setahun jagung dalam industri.

“Yang pasti, setiap lakonan saya dalam drama ini akan membuatkan penonton menitiskan air mata kerana babaknya sedih, selain menampilkan pelbagai peristiwa hitam.

“Selain itu, Pencak Akhir pula membawa kisah mengenai dunia persilatan Melayu.

“Dalam cerita ini, saya memegang watak Liza dan akan berganding bahu bersama Jehan Miskin yang memegang watak Amir.

“Jelas, dunia glamor ini mengajar saya pelbagai perkara, malah saya semakin matang meneruskan kehidupan dalam dunia popular ini.

“Benar kata orang, pengalaman adalah guru terbaik untuk mengajar kita erti kehidupan,” katanya.

Baru-baru ini, Fouziah turut berpeluang menyertai percutian ke Los Angeles (LA) dan Las Vegas bersama 40 pemenang Anugerah Skrin 2007.

Katanya, percutian bersama anak seni tempatan itu memberi pelbagai pengalaman berharga.

“Sebelum ini saya pernah ke LA, namun ia berbeza dengan percutian kali ini. Pastinya, bercuti bersama anak seni, lebih-lebih lagi berpeluang menjejakkan kaki ke Hollywood, menghadiahkan saya pelbagai ilmu berguna dalam bidang ini.

“Selain itu, sebagai orang baru, saya berpeluang merapatkan hubungan dengan ‘otai’ dalam dunia seni tempatan.

“Biasalah, sebelum ini jarang ada peluang untuk mengenali mereka, jadi sedikit sebanyak percutian ini membantu mengeratkan lagi silaturrahim,” katanya.

1 comment:

curious said...

Interesting article that you have here!! I am just so curious..... Can Fauziah Ghous personally confirm that she really has nothing to do with the Dato' Seri??!!?? Why was she in Gold Coast and Bali too when Dato' Seri and few others were there, supposedly taking a break from work to "release tension" from his personal problems?