Monday, April 28, 2008

Fouziah Ghous : Sinarnya Semakin Bergemerlapan

Fouziah Ghous : Sinarnya Semakin Bergemerlapan

Siapa Fouziah Ghous?
Di saat penulis menghampiri wanita langsing kecil molek yang bernama Fouziah Ghous ini terdetik di hati ini bahawa aura yang ada pada pelakon ini bukan calang-calang. Sinaran dari mata dan wajah bujur sirihnya yang sedap mata memandang boleh menawan sesiapa sahaja yang melihat.

Di keluaran kali ini, Pesona Wanita mengajak pembaca untuk mengenali pelakon baru yang sedang meningkat naik... Fouziah Ghous.

Rupanya sebelum ini Fouziah bekerja sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) selama lima tahun dan kini sedang bergiat aktif dalam karier sebagai pelakon dan model. Dengan pakej lengkap, wajah yang cantik, disiplin diri yang ketat dan bakat yang ada dalam dirinya, Fouziah kini yakin dengan pilihan hatinya.
Bercerita tentang lakonan pertamanya, Fouziah yang baru berusia 25 tahun ini ketawa kecil kerana pada masa itu, beliau berusia 19 tahun ketika ditawarkan berlakon dalam telemovie Demi. Dengan situasi yang masih baru baginya yang masih mentah dalam dunia lakonan, dan tidak mendapat bimbingan tunjuk ajar daripada sesiapa, beliau merasakan dirinya tidak cukup bagus untuk menjadi seorang pelakon.

Fouziah nekad tidak mahu berlakon dan sudah serik untuk berdepan dengan kamera. Lalu, beliau pun mencuba nasib sebagai pramugari.

Biarpun bertugas sebagai pramugari tatkala itu, Fouziah masih lagi menerima tawaran untuk menjadi model komersial dan pentas.

Tanpa disangka tatkala menjayakan sebuah pertunjukan pentas, Profesor Madya A. Razak Mohaideen hadir dan menawarkannya peluang berlakon semula. Maka, karier lakonannya yang berkubur lima tahun lalu, diasahnya kembali.

Takut Berkemban?
Pelakon yang sedang meletop dengan drama Enigma di TV3 ini mempunyai prinsip dalam berpakaian. Beliau tidak sanggup dan tak rela gadai tubuh demi lakonan. Ternyata Fouziah mempunyai prinsipnya sendiri apabila berbicara mengenai dunia lakonan yang masih membenih dalam dirinya.
Katanya, sedaya mungkin dia akan berusaha untuk tidak mendedahkan badan demi memenuhi kehendak pengarah mahu pun peminat.
Selagi terdaya, Fouziah Ghous akan mencari jalan dan helah untuk babak yang memerlukannya berkemban atau mendedahkan sebahagian badan, dirakam dalam bentuk yang berlainan. Jika boleh dielak, mengapa tidak mengambil langkah berjaga-jaga daripada merelakan tubuh badannya diperdagangkan di kaca TV dan filem.

Selagi tidak mencacatkan jalan cerita, Fouziah akan cuba mengelak. Dalam pada itu, Fouziah katanya sangat berhati-hati ketika menerima sesuatu tawaran dengan meneliti sesebuah skrip dan memastikan adegan daring atau berkemban tidak segaja diadakan untuk menarik perhatian peminat.

Menang di Anugerah Skrin
Pada Anugerah Skrin 2007 yang lalu, Fouziah menerima undian SMS tertinggi untuk menggenggam hadiah Anugerah Shine Pantene. Kejayaan itu bakal membawanya ke Amerika Syarikat (AS) untuk melawat sambil belajar tentang dunia perfileman di sana selama seminggu.

Di saat penulis menulis artikel ini, Fouziah Ghous sedang berada di Amerika Syarikat mengikuti rombongan bersama pemenang Anugerah Skrin 2007 yang lain. Fouziah bertuah dan berbangga kerana dapat sama-sama pememang yang lain melancong sambil belajar cara pembikinan filem di Hollywood.
Khabarnya, oleh kerana Los Angeles dan Las Vegas juga, pelakon yang mengkagumi lakonan Farid Kamil ini terpaksa menolak tawaran berlakon filem komedi seram bersama Amy Mastura. Penggambaran filem itu bercanggah dengan jadual lawatan pemenang ASK ke sana.

Memang Fouziah rasa cukup terkilan dan rugi kerana peluang muncul di filem bukannya selalu datang, tetapi setelah berbincang dengan mereka yang lebih berpengalaman serta mengenangkan tanggungjawab Fouziah kepada peminat yang membuat undian pada ASK lalu, maka beliau memilih untuk menyertai rombongan anjuran Media Prima itu.

Sejak menang di Anugerah Skrin, rezeki Fouziah Ghous semakin murah. Tidak disangkal lagi, anugerah itu telah menaikkan namanya dikenali dan membuka ramai pihak termasuklah penerbit drama dan filem.
Buat peminat Fouziah Ghous, teruskan menyokong pelakon yang sedang meningkat naik ini kerana pada tahun ini, banyak lagi filem dan drama beliau akan keluar menemui peminat. Antaranya filem Malaikat Maut, Skrip 7707 dan Rasukan Ablasa.

Mahu Menang di Anugerah Bintang Popular
Menanti dengan penuh debaran, apakah nasib Fouziah Ghous pertama kali dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 ini akan memberi impak dan tuah dalam kariernya sebagai pelakon.

Wanita manis berambut panjang ini nyata teruja apabila dicalonkan dan bakal bersaing bersama dengan Julia Ziegler, Mila, Heliza dan Farah Asyikin. Malah pelakon berusia 25 tahun ini masih tidak percaya namanya turut terpilih ke peringkat top 5.

Fouziah Ghous dan semua selebriti akan turut bersama naik ke puncak Genting untuk menghadiri acara para berprestij itu di Arena of Stars yang berlangsung pada 30 Mac 2008.

Hadiah Paling Pelik dari Azwan Ali
Semasa sambutan hari jadi pengacara popular Azwan Ali ke-42 di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Fouziah Ghous telah dihadiahkan berus jamban! Hai, apalah nasib badan. Sepanjang bergelar artis, Fouziah Ghous belum pernah dihadiahkan hadiah sepelik itu. Jadi, Fouziah nak tak nak terpaksa menerima hadiah itu dengan hati yang terbuka.

Namun, setelah ditanya kepada Azwan, mengapa hadiah berus jamban diberikan kepada Fouziah, hos itu memberi komen bahawa jika orang kenamaan boleh menghadiahkan penyapu kepada orang lain dalam majlis rasmi, apa salahnya Azwan Ali menghadiahkan berus jamban?

Yang pelik pada malam itu, bukan sahaja berus jamban, malah Azwan Ali juga turut menghadiahkan sayuran seperti terung, petola selain mi segera dan cecair pencuci tandas!

2 comments:

PEJUANG MELAYU said...

salam perkenalan

saya amat meminati Fouziah Ghous..kehadiran nya sbg artis muda telah menyerikan lagi industri hiburan ..sy harap kalau boleh dapat email fouziah

hakeem
pulau pinang

sejarahmelayu.blogspot.com

wanzu said...

tp kenapa dlm FFM 23 fouziah berkemban?