Tuesday, February 26, 2008

ABPBH2007: Fouziah Gous tak sanggup berkemban

Finalis Top 5 bakal muncul dalam slot Enigma tak rela gadai tubuh demi lakonan

WANITA cantik berambut panjang dari Kuala Lumpur ini nyata mempunyai prinsip sendiri apabila berbicara mengenai dunia seni yang masih boleh dianggap baru diceburinya. Sedaya mungkin, dia akan berusaha untuk tidak mendedahkan badan, demi sebuah kerjaya bernama lakonan.

Selagi mampu, Fouziah Ghous pasti akan mencari jalan terbaik agar babak yang memerlukannya berkemban atau mendedahkan sebahagian badan, dirakam dalam bentuk berlainan, tanpa mencacatkan perjalanan cerita. Bahkan, dia akan meneliti sesebuah skrip yang diberikan kepadanya dalam memastikan, adegan sedemikian tidak sengaja diadakan sekadar untuk menarik perhatian.

"Jika ada babak berkemban, umpamanya, saya akan cuba melakukannya dengan cara lain, seperti menggunakan kain atau pakaian lain untuk menutup bahagian yang sepatutnya terdedah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Enigma, di Bandar Utama, baru-baru ini.

Siri terbabit bakal mengisi slot Samarinda di TV3, mulai 28 Februari ini. Ia menemui penonton setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam. Drama arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, terbitan Line Clear Motion Pictures itu turut dilakonkan Farid Kamil, Faezah Elai, Izaac, Ainul Aishah, Iqram Dinzly, Raja Nor Baizura dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Menurut pelakon yang turut dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 ini, jika boleh dielakkan, mengapa tidak dia mengambil langkah berjaga-jaga, daripada merelakan tubuh badannya diperdagangkan di kaca televisyen mahu pun filem.

"Saya memegang prinsip ini demi kebaikan diri serta kerjaya, selain menjaga maruah keluarga," katanya yang kini turut dapat disaksikan lakonannya menerusi siri Impak Maksima.

Mengenai pengalamannya berlakon di sisi Farid, pelakon kacak yang kian mendapat tempat di hati peminat, Fouziah mengaku, Enigma menjadi detik pertemuan pertamanya di lokasi bersama aktor yang baru saja muncul di pawagam menerusi filem Anak Halal dan Kala Malam Bulan Mengambang.

"Agak sukar juga pada mulanya kerana kami tidak pernah kenal rapat atau berbual mesra sebelum ini. Inilah lakonan pertama saya di sisinya. Babak kami pula, banyak memerlukan saya dan dia bergurau senda.

"Namun, Farid seorang pelakon yang berpengalaman. Dia bijak dalam mencari keserasian bersama teman lakonannya. Saya pula, tidaklah boleh bertepuk sebelah tangan apabila dia sudah pun memberikan bantuan sedemikian. Sokongannya ketika beraksi di depan kamera, membantu saya memberikan lakonan yang lebih baik tentunya," kata Fouziah yang mengaku dia perlu membuang rasa segan demi menghidupkan babak membabitkan mereka.

Kata wanita manis ini, sememangnya Farid ialah antara pelakon lelaki yang menjadi kegemarannya dan dia sendiri cukup seronok dapat beraksi di samping jejaka berkenaan.

"Prof (Razak) sendiri sering menjadikan Farid sebagai contoh terbaik apabila pelakon baru seperti saya meminta pandangannya. Kata Prof, daripada seorang pelakon yang berlakon seperti kayu, kini Farid mampu memberikan lakonan memberangsangkan," katanya yang mengaku, banyak menimba pengalaman berguna sepanjang terbabit dalam penggambaran bersama aktor tinggi lampai itu.

Katanya, Beberapa tahun lalu, Farid sendiri pernah berada di tempatnya sekarang, sebagai pelakon yang baru hendak mencari tapak. Lalu, pelakon itu mengerti kesukaran yang dihadapi pendatang baru dalam mencari lakonan berkesan. Farid juga bukannya pelakon yang kedekut ilmu apabila berada di lokasi penggambaran.

Diusik apakah dia tidak tertarik dengan pelakon lelaki itu sewaktu sama-sama menjayakan penggambaran drama terbabit di Kuala Lumpur mahupun di Gold Coast, Australia, Fouziah menegaskan, perhubungan mereka semestinya tidak lebih daripada rakan seperjuangan.

"Saya tidaklah berlebih-lebihan pula walaupun digandingkan dengannya, kerana kami ialah rakan sekerja. Walaupun ramai yang melihat saya sebagai seorang yang periang, tetapi apabila tiba ke waktu bekerja, saya lebih suka bersikap profesional. Takkan saya hendak menggatal di lokasi penggambaran pula?" katanya.

Biarpun masih baru, nama Fouziah sebenarnya mula meniti bibir peminat. Cinta Medik yang dilakonkannya sebelum ini, cukup untuk meletakkan namanya sebaris pendatang baru yang kian mencipta kemasyhuran. Selepas Enigma, dia kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem Pencak Akhir pula, untuk tayangan Astro Ria.

Pada Anugerah Skrin (ASK) 2007 yang lalu, dia menerima undian SMS tertinggi untuk menggenggam hadiah Anugerah Shine Pantene. Kejayaan itu bakal membawanya ke Amerika Syarikat (AS), 10 Mac depan, bersama-sama pemenang lain anugerah berkenaan.

"Kerana Los Angeles dan Las Vegas juga, saya terpaksa menolak tawaran berlakon filem komedi seram bersama Amy Mastura. Penggambaran filem itu bercanggah dengan jadual lawatan pemenang ASK ke sana. Memang saya berasa cukup rugi kerana peluang muncul di filem bukannya selalu datang, tetapi setelah berbincang dengan mereka yang lebih berpengalaman serta mengenangkan tanggungjawab saya kepada peminat yang membuat undian pada ASK lalu, maka saya memilih untuk menyertai rombongan," ujarnya.

Tahun ini, lakonan Fouziah di layar lebar dapat dinikmati peminatnya apabila dia turut membintangi filem Malaikat Maut, Skrip 7707 dan Rasukan Ablasa.

Berhubung pencalonannya sebagai finalis ABPBH 2007, pelakon berusia 25 tahun ini masih tidak percaya namanya turut terpilih ke peringkat Top 5.

No comments: