Friday, September 5, 2008

SUTERA MAYA LEBIH KONFLIK

SUTERA MAYA LEBIH KONFLIK

Jika sebelum ini peminat-peminat slot akasia, dihidangkan dengan drama yang meruntun jiwa. Kini, setelah Manjalara, Spa Q, Bella dan Ezora, slot drama terbaru Sutera Maya bakal membuat penonton bakal terpaku di ruang tamu masing-masing.

Drama 60 episod ini dibintangi empat pelakon jelita iaitu Fasha Sandha sebagai Maya Medina, Intan Ladyana sebagai Maya Karina, Ayu Raudhah sebagai Maya Zulaikha dan Faezah sebagai Maya Sofea. Drama ini juga turut membariskan pelakon-pelakon hebat yang tidak perlu diperkenalkan lagi dan cukup berkarisma di dalam dunia lakonan. Antaranya, Mustapha Kamal, Erry Putra, Fouziah Gous, Irfa, Rebecca Nur Islam, Maria Farida dan Liza Abdullah.

Setiap manusia, tidak boleh lari dari konflik keluarga terutamanya dalam hubungan adik beradik. Kemelut kekeluargaan merupakan lumrah hidup dalam sesebuah institusi keluarga. Namun, dengan lahirnya keutuhan kasih saying yang teguh, segala permasalahn dapat diatasi.

Dari konsep ini, Sutera Maya akan tampil dengan paparan konflik keluarga dan hubungan adik beradik arahan pengarah muda, gabungan kerjasama di antara Jet Lee dan Hadzrin. Drama Sutera Maya ini juga mendapat sedikit garapan dan sentuhan pengarah berkaliber, Khabir Bahtia.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, Sherina Nordin berkata, “Sebenarnya kami mencari kelainan untuk mengisi slot Akasia ini. Corak tontonan kini berubah dari masa ke semasa. Justeru, bagi menepati citarasa penonton, usaha kami untuk memepelbagaikan kandungan perlu dipertingkatkan.”

“Siri Sutera Maya ini member nafas baru mengenai sifat kekeluargaan. Siri ini juga mengandungi unsure-unsur teladan yang amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga. Selain itu jalan cerita drama ini cukup menarik, mudah dan moden. Selain itu, kami sentiasa membuka ruang kepada pengarah-pengarah tempatan untuk menonjolkan bakat yang ada,” ulasnya.

“Selain dari itu, siri Sutera Maya ini juga tampil berbeza kerana jalan ceritanya tidak tertumpu hanya kepada dunia korporat seperti drama siri lain yang dipaparkan sebelum ini, tetapi hanya melibatkan perniagaan berkaitan alam semulajadi iaitu Desa Botani,” tambah Sherina lagi.

Sutera Maya berkisar mengenai hubungan empat adik beradik perempuan berkongsi bapa yang sama tetapi berlainan ibu. Kisah bermula apabila salah seorang dari mereka, Maya Medina (Fasha Sandha) mendapat tahu bahawa dia sebenarnya mempunyai tiga orang lagi adik perempuan.

Dari situlah bermula usaha menjejaki saudara perempuan yang lain serta strategi untuk bertemu dengan ayah kandung mereka, seorang ahli perniagaan terkemuka. Setiap penemuan membongkar misteri silam sehingga perjalanan hidup akhirnya menjadi usaha memecahkan kebuntuan terhadap jati diri, nilai kasih saying, kekeluargaan, cinta dan pengkhianatan.

Jadi, kepada pengemar-pengemar slot Akasia, pastikan temujanji anda dengan drama siri terbaru, Sutera Maya, mulai 1 September, dari Isnin hingga Khamis pada jam 6.30 petang. Hanya di TV3.

Thursday, September 4, 2008

Fouziah Terus Ligat

Fouziah terus ligat dengan karier seninya yang semakin memuncak

Bukan bersifat tamak, namun bagi aktres dan model berusia 26 tahun ini, dia tidak mahu menolak rezeki sementara bakatnya masih dihargai dan dirinya sendiri berkemampuan untuk melakukannya.

Meskipun akui jadual yang sibuk sejak berbulan-bulan yang lalu adakalanya memenatkan diri, tetapi apabila berfikir itulah minat dan juga menjadi punca rezekinya ketika ini, Fouziah akan kembali bersemangat.

"Bagi saya, selagi Allah berikan rezeki ini, janganlah ditolak. Rezeki dalam bidang ini tidak menentu. Lainlah dulu, ketika saya masih bertugas sebagai pramugari, saya mempunyai pendapatan yang tetap.

"Tetapi berbeza dengan bidang seni. Jika ada job, adalah income yang masuk. Tapi, meskipun sibuk bekerja, bukanlah bermaksud saya tidak dapat rehat langsung. Semua orang tetap memerlukan rehat, cuma ia mungkin banyak atau sikit.

"Tetapi adakalanya sepenat mana pun saya rasa, bila berada di lokasi dengan krew produksi serta watak yang saya enjoy, pasti rasa penat itu akan hilang," ujar Fouziah yang ditemui pada majlis ramah-mesra bersama barisan pelakon drama bersiri Sutera Maya, baru-baru ini.

Anak bongsu daripada lima beradik ini baru saja selesai menjalani penggambaran untuk telemovie Kasihmu Di Bulan Ramadan untuk siaran RTM dan akan ke lokasi untuk telemovie Puisi Untuk Anis dan Cahaya Lailatulkadar.

Fouziah juga ketika ini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri 60 episod,
Fouziah turut menjayakan drama bersiri 60 episod, Sutera Maya sebagai Kiki

Sutera Maya yang telah mula disiarkan di slot Akasia di TV3 pada 1 September lalu.

Drama arahan pengarah muda, Jet Lee dan Hadzrin serta sedikit garapan dari pengarah berkaliber, Kabir Bhatia ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Fasha Sandha, Intan Ladyana, Ayu Raudhah, Faezah, Rebecca Nur Al-Islam, Maria Farida dan Erry Putra.

Memegang watak sebagai wanita pendendam bernama Kiki, kata Fouziah, watak tersebut disifatkannya agak 'misteri' yang cukup berbeza dengan watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

"Kiki sebenarnya bukan jahat, tetapi ada sebab mengapa dia jadi seorang yang pendendam di dalam drama ini. Malah, saya rasa penonton juga akan sedikit confuse dengan perjalanan karektor saya ini.

"Apapun, watak Kiki ini hanya akan mula muncul pada episod ke-16 nanti. Saya akui, karektor ini memang lain dari yang lain, at least dapatlah juga saya mempelbagaikan watak.

"Lagipun, saya masih baru dalam bidang ini. Jadi, saya kena rasa pelbagai cabaran untuk apa-apa saja watak untuk elak dilihat stereotaip saja. Adakalanya, saya memilih juga skrip tertentu untuk cuba sebarang watak yang belum pernah saya bawakan," tuturnya.

Sutera Maya mengisahkan tentang empat adik-beradik perempuan iaitu Maya Medina (Fasha), Maya Karina (Intan), Maya Zulaikha (Ayu) dan Maya Sofea (Faezah) yang berkongsi bapa tetapi berlainan ibu.

Kisah bermula apabila salah seorang daripada mereka, Maya Medina mendapat tahu bahawa dia sebenarnya mempunyai tiga orang adik perempuan dan dari situlah dia mula menjejaki saudara perempuannya yang lain.

Sunday, August 31, 2008

FOUZIAH GHOUS - Harga Yang Perlu Dibayar

Harga yang perlu dibayar

FOUZIAH GHOUS bukanlah satu jenama produk tetapi dengan menggunakan nama komersial itu, dia gagah dan yakin dengan apa yang ingin dicapai dalam dunia seni.

Justeru itu, jangan diperlekeh usaha dan bakat yang ada dalam diri si manis berusia 25 tahun pemilik nama penuh Nor Fauziah Mohd Ghous.

Fouziah Ghous

Biarpun kehadirannya disambut dengan gosip yang kurang enak, kononnya bercinta dengan si anu dan si anu, namun sebagai penyambung riwayat anak seni, Fouziah sanggup merentasi apa jua ujian yang hadir kepadanya.

Berkat kesabaran yang tinggi, kini nama Fouziah semakin disenangi. Tawaran lakonan yang datang juga mencurah-curah sehingga kadang-kala terpaksa ditolak. Barangkali tak terlayan dek kekuatan yang empunya badan.

"Sekarang ini saya memang sibuk. Siang malam kerja sahaja, pada saya usia muda ini harus digunakan sebaik mungkin untuk kesenangan masa hadapan.

"Penat memang penat, tetapi saya terpaksa demi minat dan rezeki. Inilah harga yang perlu saya bayar. Kalau tidak saya juga yang susah bila tiba hujung bulan," terangnya sambil ketawa manja.

Ramai yang melihat lonjakan namanya meningkat terlalu cepat dan mudah. Lihat saja drama yang menggunakan khidmatnya, tidak terhitung dengan jari.

Malah, dia juga sering digandingkan dengan nama-nama besar, baik dalam filem ataupun drama. Semua ini dilihat sebagai tuah buat gadis berkulit hitam manis ini. Dan pastinya tidak semua orang sebertuah si gadis hitam manis ini.

Antara drama lakonannya ialah Enigma, Cinta Medik, Impak Maksima, dan terbaru Sutera Maya yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Selain itu, wajahnya turut diberi kepercayaan untuk memeran watak utama dalam filem Malaikat Maut, Skrip 7707, Rasukan Ablaska dan juga Sifu dan Tonggak.

Melihat banyak tawaran yang datang tidak pernah diabaikan, tentu akan ada beranggapan si manis ini sedikit haloba dan soal itu juga dikongsikan bersama.

Dengan nada suara yang lembut, Fouziah tegas mengatakan dia bukan seorang yang tamak tetapi seorang yang bijak dalam menyusun jadual kerja.

"Kalau saya tamak, saya sapu saja semua tawaran yang datang, tetapi saya bukan orang yang terlari-lari ke sana-sini dalam satu hari.

"Sebelum ambil sesuatu tawaran saya akan lihat dulu jadual, jika ada waktu terluang dan tidak bertembung baru saya ambil. Saya tidak berani ambil kerja yang akan bertembung dalam satu masa. Saya takut menyusahkan pihak lain

"Saya rasa tidak salah kalau mahu ambil beberapa tawaran sekali gus, asalkan tidak menyusahkan pihak produksi. Jadual kerja kena diurus dengan baik, kalau tidak ia hanya akan merosakkan nama saya saja. Sebab itu saya amat berhati-hati menyusun atur segala kerja yang diambil," tuturnya jujur.

Sudah berubah?Walaupun dirinya semakin popular, gadis yang petah berbicara ini mengatakan dirinya tidak pernah berubah. Sebaliknya biar setinggi mana sekalipun impian bakal tercapai dia masih Fouziah yang sama seperti awal bertatih dalam dunia seni.

"Saya fikir ringkas saja. Jadi diri sendiri walau di mana pun berada. Kalau ada orang tanggapan buruk tentang saya, pada saya itu semua hal yang tidak harus difikirkan.

"Saya juga tidak mahu salahkan orang yang bertanggapan buruk tentang saya. Sebolehnya saya mahu cuba elakkan perkara buruk dan berubah ke jalan yang lebih baik dari semasa ke semasa dan tidak mahu memikirkan hal negatif," tegas anak bongsu daripada lima beradik ini.

Bukan itu saja, Fouziah juga kini lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya termasuk caranya berpakaian. Sedar banyak mata yang bakal memandang, dia tidak mahu tersilap mengatur langkah supaya nama baik sendiri dan pastinya maruah keluarga tersasar dipandangan masyarakat.

"Terus terang, dulu pakai apa pun orang tidak akan kisah, tetapi sekarang saya kena jaga. Kalau boleh elakkan pakaian yang seksi melampau dan boleh menimbulkan tanggapan kurang manis.

"Kalau saya buat juga dan pakai sesuka hati di depan orang ramai, bila orang mengutuk dan mengata kita tak boleh salahkan masyarakat. Kita sendiri yang cari pasal, tak boleh salahkan orang lain,"balasnya.

Pertama kali berlakon drama rayaKata Fouziah lagi, tahun ini merupakan tahun pertama dia terlibat dalam pembikinan drama untuk hari lebaran. Malahan, dia juga berasa seronok kerana dapat meninjau suasana kampung yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

"Saya daripada kecil sampai besar tinggal di Kuala Lumpur. Hari raya saya hanya di sini, apabila dapat peluang berlakon di kampung dan di sawah padi, saya rasa terlalu seronok.

"Kalau saya tengok pemandangan kampung, penat itu hilang tiba-tiba. Sebab itu saya tidak ralat kalau nak berulang alik antara mana-mana lokasi luar bandar dan Kuala Lumpur," jelasnya.

Menurutnya lagi, setakat ini sudah ada empat drama lakonannya yang akan ditayangkan sempena hari lebaran nanti.

"Saya pun mahu juga berlakon drama raya, sebab seronok. Lagipun, ini pertama kali saya berlakon drama raya, jadi saya terlebih seronok pula (ketawa).

"Kiranya dalam drama raya, saya jadi ala-ala orang kampung dan pakai tudung, memang lain," luahnya lagi.

Sibuk sepanjang puasaRasanya terlalu pantas masa berlalu, beberapa hari saja lagi, seluruh umat Islam akan menjalani ibadah puasa. Fouziah juga tidak terkecuali menanti kehadiran bulan mulia dengan penuh azam dan semangat.

Sepanjang bulan puasa, jadualnya semakin padat. Tidak menyalahkan percaturan hidup, dia sebaliknya menganggap segalanya kerana rezeki.Walaupun penat berpuasa, kerja harus dilakukan juga.

"Dekat raya, kenalah cari duit lebih sikit. Lagipun saya anggap ini satu perkara yang biasa. Rasanya lagi seronok kalau bekerja sambil berpuasa tidak terasa penat sebab sibuk," katanya yang tidak mengehadkan aktiviti penggambaran dibulan mulia ini.

Bagi Fouziah walaupun sibuk, pada bulan puasa nanti, dia tetap akan meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama keluarga terutamanya pada hari pertama.

"Itu sudah jadi kebiasaan, sejak saya kerja sebagai pramugari pun saya sudah praktik begitu. Kalau ada shooting, saya akan bergegas pulang.

"Lebih afdal berkumpul dengan keluarga, kerja tetap jalan tetapi keluarga jangan dilupa. Lagipun saya masih lagi tinggal dengan keluarga dan terlalu rapat dengan ibu, mana boleh tidak makan masakan ibu pada puasa pertama," luahnya yang sempat melayangkan ucapan selamat menyambut kehadiran Ramadan kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia.

Kredit : Dipetik dari Kosmo!, 29 Ogos 2008

Friday, August 22, 2008

NALURI FESYEN FOUZIAH GHOUS

Pelakon utama drama bersiri ‘Enigma’, Fouziah Ghous, percaya kepada nalurinya dalam memilih pakaian. Tidak perlu barangan mewah dan berjenama, sedikit mix and match katanya, pasti menghasilkan penampilan yang menakjubkan.

GUA: Gaya Fouziah sehari-hari?
Fouziah: Gaya saya simple saja. Walau bagaimanapun, saya suka mencari kelaianan dalam berpakaian. Bukanlah pakaian yang pelik-pelik, tetapi lebih kepada ‘mencipta’ gaya sendiri. Ketika bergelar pramugari dulu, saya sering membeli-belah di luar negara. Kerana itu saya sering kelihatan up-to-date. Ada juga pakaian yang dibeli, fesyennya tidak pernah ada di Malaysia.

Saya suka pakaian mengikut bentuk tubuh. Kekurangan diri saya ialah nampak haggard jika memakai pakaian longgar. Semenjak berhenti daripada MAS dan menceburi bidang seni sepenuh masa, agenda fesyen saya turut berubah. Kini fesyen sehari-hari lebih kepada majlis yang dihadiri.

Perubahan fesyen dulu dan sekarang?
Tak banyak. Saya memang gila fesyen semenjak bersekolah dulu. Dan saya pula jenis suka mencipta gaya sendiri. Apabila bergelar pramugari, dan berpeluang terbang ke negara orang, lebih ligat saya bereksperimen.

Masalah berkaitan fesyen?
Ada, terutamanya apabila rambut tidak terurus. Saya amat mementingkan penampilan rambut. Dulu, dalam seminggu tiga kali saya mencuci rambut di salun. Kini tidak lagi kerana kekurangan masa. Walau bagaimanapun saya akan curi masa untuk ke salun.

Ada petua untuk rambut cantik?
Ketika bersekolah dulu saya rajin mengamalkan petua tradisional, melumur rambut dengan bunga-bungaan. Setelah bekerja, saya senang ke salun. Kini jika tidak berkesempatan ke salun, saya akan melumur rambut dengan minyak bayi sebelum mencucinya dengan syampu. Inilah petua untuk rambut cantik dan bersinar.

Fouziah berpuas hati dengan fesyen pilihan?
Kadang-kadang tidak juga. Kebanyakannya berlaku apabila menerima baju tajaan pereka. Mungkin ada beberapa perkara. Contohnya, rekaan terlalu seksi. Oh, itu bukan saya. Tetapi saya terima sahaja kerana saya percaya kepada give and take. Memandangkan saya masih baru, saya banyak menerima baju daripada pereka baru. Konsep saya, kami sama-sama baru, jadi sama-sama berganding bahu. Banyak mulut pun tak boleh juga. Apa yang orang bagi, pakai saja.

Ikon fesyen?
Saya bukan jenis meniru gaya orang lain. Saya suka mencipta gaya sendiri. Apabila membelek majalah saya akan ingat fesyen terkini yang dipaparkan. Apabila ke kedai, saya mix and match (membeli). Saya suka tengok Camelia, dia stylish dan berkarisma.

Jenama kesukaan?
Tiada. Saya membeli apa juga jenama, asal rekaannya berkenan di hati.

Gaya bagaimana mahu dielakkan ketika berhadapan kamera?
Seksi. Saya paling takut bila orang kata saya seksi. Kadang-kadang, baju yang saya pakai tidak mendedahkan langsung. Masih orang berkata saya seksi. Mungkin kerana bentuk tubuh.

Persiapan ketika menghadiri majlis besar?
Semestinya saya asyik memikirkan mengenai baju dan kasut. Setakat ini tidak banyak majlis besar yang dihadiri kerana masih baru, jadi saya menyerahkan kepada pereka yang menaja. Saya suka rekaan Azura, nampaknya saya serasi rekaannya.

Most treasured item?
Semestinya kasut! Saya sangat menggilai kasut. Sebutlah apa juga fesyennya, saya pasti membeli. Saya tidak kisah andai tidak membeli pakaian atau beg tangan, tetapi tidak kasut.

Penjagaan wajah?
Semenjak dulu saya rajin ke salun membelai muka. Kulit muka saya sensitif, perlu penjagaan khusus. Jadi saya tidak sewenang-wenangnya menggunakan pencuci muka. Saya sanggup berhabis untuk cantik, tetapi tidaklah sehingga pokai. Berpada-padalah berbelanja.

Barangan mesti ada?
Anting-anting, bedak muka, lipgloss dan mascara. Kesemua barang ini mesti ada dalam beg saya.

Monday, April 28, 2008

Fouziah Ghous : Sinarnya Semakin Bergemerlapan

Fouziah Ghous : Sinarnya Semakin Bergemerlapan

Siapa Fouziah Ghous?
Di saat penulis menghampiri wanita langsing kecil molek yang bernama Fouziah Ghous ini terdetik di hati ini bahawa aura yang ada pada pelakon ini bukan calang-calang. Sinaran dari mata dan wajah bujur sirihnya yang sedap mata memandang boleh menawan sesiapa sahaja yang melihat.

Di keluaran kali ini, Pesona Wanita mengajak pembaca untuk mengenali pelakon baru yang sedang meningkat naik... Fouziah Ghous.

Rupanya sebelum ini Fouziah bekerja sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) selama lima tahun dan kini sedang bergiat aktif dalam karier sebagai pelakon dan model. Dengan pakej lengkap, wajah yang cantik, disiplin diri yang ketat dan bakat yang ada dalam dirinya, Fouziah kini yakin dengan pilihan hatinya.
Bercerita tentang lakonan pertamanya, Fouziah yang baru berusia 25 tahun ini ketawa kecil kerana pada masa itu, beliau berusia 19 tahun ketika ditawarkan berlakon dalam telemovie Demi. Dengan situasi yang masih baru baginya yang masih mentah dalam dunia lakonan, dan tidak mendapat bimbingan tunjuk ajar daripada sesiapa, beliau merasakan dirinya tidak cukup bagus untuk menjadi seorang pelakon.

Fouziah nekad tidak mahu berlakon dan sudah serik untuk berdepan dengan kamera. Lalu, beliau pun mencuba nasib sebagai pramugari.

Biarpun bertugas sebagai pramugari tatkala itu, Fouziah masih lagi menerima tawaran untuk menjadi model komersial dan pentas.

Tanpa disangka tatkala menjayakan sebuah pertunjukan pentas, Profesor Madya A. Razak Mohaideen hadir dan menawarkannya peluang berlakon semula. Maka, karier lakonannya yang berkubur lima tahun lalu, diasahnya kembali.

Takut Berkemban?
Pelakon yang sedang meletop dengan drama Enigma di TV3 ini mempunyai prinsip dalam berpakaian. Beliau tidak sanggup dan tak rela gadai tubuh demi lakonan. Ternyata Fouziah mempunyai prinsipnya sendiri apabila berbicara mengenai dunia lakonan yang masih membenih dalam dirinya.
Katanya, sedaya mungkin dia akan berusaha untuk tidak mendedahkan badan demi memenuhi kehendak pengarah mahu pun peminat.
Selagi terdaya, Fouziah Ghous akan mencari jalan dan helah untuk babak yang memerlukannya berkemban atau mendedahkan sebahagian badan, dirakam dalam bentuk yang berlainan. Jika boleh dielak, mengapa tidak mengambil langkah berjaga-jaga daripada merelakan tubuh badannya diperdagangkan di kaca TV dan filem.

Selagi tidak mencacatkan jalan cerita, Fouziah akan cuba mengelak. Dalam pada itu, Fouziah katanya sangat berhati-hati ketika menerima sesuatu tawaran dengan meneliti sesebuah skrip dan memastikan adegan daring atau berkemban tidak segaja diadakan untuk menarik perhatian peminat.

Menang di Anugerah Skrin
Pada Anugerah Skrin 2007 yang lalu, Fouziah menerima undian SMS tertinggi untuk menggenggam hadiah Anugerah Shine Pantene. Kejayaan itu bakal membawanya ke Amerika Syarikat (AS) untuk melawat sambil belajar tentang dunia perfileman di sana selama seminggu.

Di saat penulis menulis artikel ini, Fouziah Ghous sedang berada di Amerika Syarikat mengikuti rombongan bersama pemenang Anugerah Skrin 2007 yang lain. Fouziah bertuah dan berbangga kerana dapat sama-sama pememang yang lain melancong sambil belajar cara pembikinan filem di Hollywood.
Khabarnya, oleh kerana Los Angeles dan Las Vegas juga, pelakon yang mengkagumi lakonan Farid Kamil ini terpaksa menolak tawaran berlakon filem komedi seram bersama Amy Mastura. Penggambaran filem itu bercanggah dengan jadual lawatan pemenang ASK ke sana.

Memang Fouziah rasa cukup terkilan dan rugi kerana peluang muncul di filem bukannya selalu datang, tetapi setelah berbincang dengan mereka yang lebih berpengalaman serta mengenangkan tanggungjawab Fouziah kepada peminat yang membuat undian pada ASK lalu, maka beliau memilih untuk menyertai rombongan anjuran Media Prima itu.

Sejak menang di Anugerah Skrin, rezeki Fouziah Ghous semakin murah. Tidak disangkal lagi, anugerah itu telah menaikkan namanya dikenali dan membuka ramai pihak termasuklah penerbit drama dan filem.
Buat peminat Fouziah Ghous, teruskan menyokong pelakon yang sedang meningkat naik ini kerana pada tahun ini, banyak lagi filem dan drama beliau akan keluar menemui peminat. Antaranya filem Malaikat Maut, Skrip 7707 dan Rasukan Ablasa.

Mahu Menang di Anugerah Bintang Popular
Menanti dengan penuh debaran, apakah nasib Fouziah Ghous pertama kali dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 ini akan memberi impak dan tuah dalam kariernya sebagai pelakon.

Wanita manis berambut panjang ini nyata teruja apabila dicalonkan dan bakal bersaing bersama dengan Julia Ziegler, Mila, Heliza dan Farah Asyikin. Malah pelakon berusia 25 tahun ini masih tidak percaya namanya turut terpilih ke peringkat top 5.

Fouziah Ghous dan semua selebriti akan turut bersama naik ke puncak Genting untuk menghadiri acara para berprestij itu di Arena of Stars yang berlangsung pada 30 Mac 2008.

Hadiah Paling Pelik dari Azwan Ali
Semasa sambutan hari jadi pengacara popular Azwan Ali ke-42 di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Fouziah Ghous telah dihadiahkan berus jamban! Hai, apalah nasib badan. Sepanjang bergelar artis, Fouziah Ghous belum pernah dihadiahkan hadiah sepelik itu. Jadi, Fouziah nak tak nak terpaksa menerima hadiah itu dengan hati yang terbuka.

Namun, setelah ditanya kepada Azwan, mengapa hadiah berus jamban diberikan kepada Fouziah, hos itu memberi komen bahawa jika orang kenamaan boleh menghadiahkan penyapu kepada orang lain dalam majlis rasmi, apa salahnya Azwan Ali menghadiahkan berus jamban?

Yang pelik pada malam itu, bukan sahaja berus jamban, malah Azwan Ali juga turut menghadiahkan sayuran seperti terung, petola selain mi segera dan cecair pencuci tandas!

Sunday, April 6, 2008

Fouziah Gous: Tolak kontroversi

Oleh FIRDAUS SAHAT

Tidak pernah terlintas untuknya membina nama atas lingkaran api kontroversi. Namun, hakikatnya itulah bayaran yang harus diharungi menjadi artis.

Sebut saja Fouziah Gous, ramai beranggapan pelakon ini membina nama dengan cerita panas dan bukan bakat yang menjadi perantara.

Namun ramai tidak tahu, kejayaan dibina gadis ini dek kerana usahanya yang tidak pernah surut, ditambah pula dia memiliki bakat dan minat mendalam dalam bidang lakonan.

Jelas Fouziah, mengejar nama menerusi kontroversi adalah satu perkara yang tidak pernah difikirkannya.

Bagi gadis ini, dia lebih gemar dinilai melalui bakatnya dan bukan gosip yang diada-adakan sesetengah pihak.

“Saya bekerja dengan ikhlas untuk mencari rezeki. Selama ini, saya bekerja keras supaya peluang terbuka luas buat saya, namun jika mahu mengatakan saya mencipta kontroversi untuk dikenali, ia tidak benar.

“Setiap hari saya merancang perjalanan kerjaya saya yang baru saja bermula. Apa yang saya miliki kini adalah hasil titik peluh sendiri dan bukan disebabkan gosip liar yang disebarkan.

“Walaupun pada mulanya saya kecewa dengan apa yang diperkatakan, namun saya sedar ia sekadar mainan dalam dunia glamor.

“Sedikit sebanyak, ia mematangkan saya dalam menempuh kehidupan akan datang,” katanya yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang berpengaruh di sebuah stesen penyiaran.

Begitu juga dengan VIP yang dikaitkan, Ketua Eksekutif Primedia Inc dan Media Prima International, Datuk Seri Farid Ridzuan yang menafikan beliau menjalin hubungan intim dengan pelakon remaja berkenaan.

Dalam pertemuan di majlis ramah mesra bersama media di Sri Pentas, Rabu lalu, Farid mengakui mengenali Fouziah sejak lima tahun lalu ketika gadis itu masih bertugas sebagai pramugari Penerbangan Malaysia.

“Kebetulan, Fouziah kini menjadi artis dan saya di dalam bidang penyiaran, kami menjadi mangsa gosip.

“Walhal saya baik dengan semua orang, bukan dengan kaum Hawa saja, malah kaum Adam juga,” kata Farid yang terbuka dengan pertanyaan media.

Keterbukaan Farid diharap dapat memberi jawapan lega kepada pemerhati industri yang sering melihat kepada elemen gosip hiburan.

Berbalik kepada cerita Fouziah, gadis berusia 26 tahun ini kini sibuk menjayakan drama 25 episod berjudul Enigma.

“Dalam Enigma, saya memegang dua watak berbeza, iaitu gadis belasan tahun dan juga wanita korporat.

“Pendek kata, drama ini menceritakan perjalanan gadis bernama Mira bermula dari bangku sekolah sehingga menjadi insan berjaya.

“Sebenarnya, susah memegang dua watak ini. Walaupun pada hakikatnya mudah membawa watak remaja, sedikit sebanyak saya terbawa-bawa watak itu sewaktu membawa watak wanita berkerjaya.

“Itu antara cabaran yang perlu saya harungi dalam drama ini.

“Pun begitu, ia bukan pematah semangat untuk saya buat yang terbaik. Semakin banyak pengalaman dikutip, semakin matang perjalanan kerjaya seni saya.

“Tambah menarik, drama ini menyajikan sinematografi menarik. Pada saya, ia karya terbaik pernah dihasilkan Prof Madya A Razak Mohaideen selaku pengarah,” katanya.

Selain itu, Fouziah membintangi Impak Maksima The Series dan Pencak Akhir, sebuah drama bercorak seni mempertahankan diri.

“Dalam drama Impak Maksima The Series, saya diberi watak Hanim iaitu gadis kampung. Jika mahu diikutkan, ini antara watak yang belum pernah saya bawa.

“Sedikit sebanyak, ia turut memberi pengalaman baru buat saya yang masih setahun jagung dalam industri.

“Yang pasti, setiap lakonan saya dalam drama ini akan membuatkan penonton menitiskan air mata kerana babaknya sedih, selain menampilkan pelbagai peristiwa hitam.

“Selain itu, Pencak Akhir pula membawa kisah mengenai dunia persilatan Melayu.

“Dalam cerita ini, saya memegang watak Liza dan akan berganding bahu bersama Jehan Miskin yang memegang watak Amir.

“Jelas, dunia glamor ini mengajar saya pelbagai perkara, malah saya semakin matang meneruskan kehidupan dalam dunia popular ini.

“Benar kata orang, pengalaman adalah guru terbaik untuk mengajar kita erti kehidupan,” katanya.

Baru-baru ini, Fouziah turut berpeluang menyertai percutian ke Los Angeles (LA) dan Las Vegas bersama 40 pemenang Anugerah Skrin 2007.

Katanya, percutian bersama anak seni tempatan itu memberi pelbagai pengalaman berharga.

“Sebelum ini saya pernah ke LA, namun ia berbeza dengan percutian kali ini. Pastinya, bercuti bersama anak seni, lebih-lebih lagi berpeluang menjejakkan kaki ke Hollywood, menghadiahkan saya pelbagai ilmu berguna dalam bidang ini.

“Selain itu, sebagai orang baru, saya berpeluang merapatkan hubungan dengan ‘otai’ dalam dunia seni tempatan.

“Biasalah, sebelum ini jarang ada peluang untuk mengenali mereka, jadi sedikit sebanyak percutian ini membantu mengeratkan lagi silaturrahim,” katanya.

Sunday, March 16, 2008

Siapa Fouziah Ghous?

Siapa Fouziah Ghous?
Di saat penulis menghampiri wanita langsing kecil molek yang bernama Fouziah Ghous ini terdetik di hati ini bahawa aura yang ada pada pelakon ini bukan calang-calang. Sinaran dari mata dan wajah bujur sirihnya yang sedap mata memandang boleh menawan sesiapa sahaja yang melihat.

Rupanya sebelum ini Fouziah bekerja sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) selama lima tahun dan kini sedang bergiat aktif dalam karier sebagai pelakon dan model. Dengan pakej lengkap, wajah yang cantik, disiplin diri yang ketat dan bakat yang ada dalam dirinya, Fouziah kini yakin dengan pilihan hatinya.

Bercerita tentang lakonan pertamanya, Fouziah ketawa kecil kerana pada masa itu, beliau berusia 19 tahun ketika ditawarkan berlakon dalam telemovie Demi. Dengan situasi yang masih baru baginya yang masih mentah dalam dunia lakonan, dan tidak mendapat bimbingan tunjuk ajar daripada sesiapa, beliau merasakan dirinya tidak cukup bagus untuk menjadi seorang pelakon. Fouziah nekad tidak mahu berlakon dan sudah serik untuk berdepan dengan kamera. Lalu, beliau pun mencuba nasib sebagai pramugari.

Biarpun bertugas sebagai pramugari tatkala itu, Fouziah masih lagi menerima tawaran untuk menjadi model komersial dan pentas. Tanpa disangka tatkala menjayakan sebuah pertunjukan pentas, Profesor Madya A. Razak Mohaideen hadir dan menawarkannya peluang berlakon semula. Maka, karier lakonannya yang berkubur lima tahun lalu, diasahnya kembali.